“Berbuat baiklah kepada wanita, kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Maka sikapilah para wanita dengan baik.”
– (HR al-Bukhari Kitab an-Nikah no 5186)
Kepada bakal suamiku yang dicintai,
Kita bakal hidup bersama tidak lama lagi. Jadi, ada beberapa perkara yang aku harus perjelaskan kepadamu agar kau lebih memahami aku. Pertama sekali, aku bukanlah satu-satunya pilihan yang kamu ada. Aku tidak pernah memandang diriku sebagai pilihan terbaik untuk dirimu. Yang aku tahu cuma satu. Aku akan berusaha memahami dirimu yang bakal kukenali lebih dekat apabila hidup sebumbung nanti. Dan aku akan cuba menjadi isteri yang taat dan solehah di bawah bimbinganmu.
Aku juga tahu kamu bukanlah yang paling sempurna dalam kalangan lelaki yang aku pernah kenali. Namun kau harus tahu mengapa dirimu yang aku pilih. Aku tidak mengangkat engkau sebagai yang terbaik semasa aku memilihmu. Sebaliknya, aku merasakan dirimu berpotensi untuk membimbing aku ke jalan yang lebih baik, dengan caramu melayan orang sekelilingmu, dan cara kamu berinteraksi dengan ibu bapa dan adik beradikmu. Namun itu tidak bermakna aku menganggap kamu tidak akan berubah dan sentiasa baik di mataku. Tapi cukuplah dengan aku berdoa agar kamu sentiasa begitu, dan aku yakin ALLAH mendengar doaku.
Bakal suamiku yang dikasihi,
Aku sangat rapat dengan keluargaku. Ibu bapaku adalah sahabat terbaikku. Adik beradikku adalah teman sepermainan, dan teman tidurku semasa kecil. Maka aku berharap akan kekal rapat dengan keluargaku sehingga aku mati. Kamu juga mempunyai keluarga, dan aku percaya kamu faham ikatan keluarga yang kukuh tidak dapat dijual beli dengan dollar dan ringgit. Janganlah disekat aku berjumpa dengan mereka, sebagaimana aku sentiasa akan memberi ruang untuk kamu dekat dengan keluargamu. Janganlah dizalimi aku dengan menggunakan kuasa vetomu untuk mengawal pergerakanku, sehingga aku tidak dibenarkan berjumpa ahli keluargaku.
Aku anak sulung yang menjadi harapan keluarga sebelum aku berjumpa dengan kamu, dan aku harap keadaan itu tidak akan berubah setelah aku jadi teman hidupmu. Sebagai wanita moden, aku tidak akan mengharapkan huluran wang berlebih lebihan daripadamu kerana aku punya gaji hasil titik peluhku untuk aku berbelanja memanjakan diriku. Cukuplah nafkah sekadar cukup, tidak bermewah-mewah sehingga merosakkan diriku menjadi riak dan takbur. Maka aku harapkan kau juga bertolak ansur sekiranya aku memperuntukkan wang gajiku untuk ibu bapaku di kampung. Kita masing-masing punya tanggungjawab kepada ibu bapa, walau tidak wajib bagiku sebagai anak perempuan, fahamilah niatku membantu ibu bapaku, sebagaimana cita-citamu untuk memberi kehidupan senang kepada ibu bapamu.
Bakal suamiku yang budiman,
Aku juga berharap agar kamu menjaga hubunganmu dengan ibu bapamu, kerana restu ibu bapa itu perlu dalam menjalani hidup di muka bumi ini. Jangan sesekali menyakiti hati mereka, dan senantiasalah mencari redha mereka kerana sekiranya ibu bapa redha, TUHAN juga akan merestui perjalanan kita. Sama jugalah dengan perhubungan kamu dengan ibu bapaku. Janganlah kerana aku sudah sah milikmu, kamu ketepikan mereka. Sesungguhnya kerana merekalah aku membesar dengan sempurna. Berterima kasihlah kerana mereka tabah dan sabar mendidik aku, sehingga dewasa begini. Aku juga akan membalas budimu dengan melayan ibu bapamu dengan baik sebagaimana tanggungjawabku terhadap ibu bapaku sendiri. Sesungguhnya wajib ke atas kita untuk menghormati mertua sebagaimana ibu bapa sendiri.
Bakal pemimpinku sayang,
Poligami itu memang hak dirimu yang mutlak dan tiadalah kuasa aku menghalang hukum TUHAN. Namun sekiranya sampai keperluanmu berpoligami, berterus teranglah dengan diriku agar tidak aku terkejut dengan hasratmu. Aku memahami perihal keperluan lelaki sehingga dibenarkan nikah lebih daripada satu, dengan syarat berlaku adil. Adil itu bukan pada kamu yang mengadili, tapi kami isteri yang diadili. Maka berlaku adillah semampu kamu, kerana aku percaya apabila timbul kemahuan itu, kamu sudah cukup muhasabah diri, menghakimi diri sendiri akan kelayakanmu. Tidaklah sanggup aku melihat lelaki yang aku cintai berjalan dengan bahu senget sebelah di hari pengadilan nanti.
Akhir sekali, aku sedar akan perangaiku yang keras kepala dan sering bercanggah pendapat denganmu. Aku amat menghargai kesabaranmu setiap kali kita bertelagah, dan masih juga kamu mahu mengambil aku sebagai isteri. Antara kita memang terdapat banyak perbezaan, lebih-lebih lagi kerana jurang usia yang besar. Namun janganlah kiranya kesabaran itu hilang selepas akad nikah kelak, kerana sejauh mana usia kita berbeza, selama itulah masa yang aku perlu untuk mencapai tahap kematanganmu.
Aku adalah rusukmu yang bengkok, maka luruskanlah aku dengan kasih sayang. Aku tidak diciptakan dari kaki untuk dialasi, bukan dari kepala untuk dijunjung, tapi dekat di bahu untuk dilindung, dekat pula di hati untuk dikasihi. Maka kasihilah aku seadanya, selagi layak aku dikasihi. Bukan berlebihan sehingga tepu, bukan pula kurang sehingga layu.
0 Response to "Surat Untuk Bakal Suami"
Post a Comment